SEOUL – Gambar-gambar baharu anggota kumpulan BTS iaitu J-Hope atau nama sebenarnya, Jeong Ho-Seok di sebuah kem tentera Korea Selatan tersebar di internet, lapor portal berita Wion News hari ini.
J-Hope bertugas di Divisyen Infantri Ke-36, Kor Baharu Baekho dan dia turut mendapatkan asas latihan tentera di unit tersebut.
Kumpulan gambar baharu tular itu menunjukkan J-Hope memakai pakaian seragam tentera dan memegang senjata api.
Dalam gambar lain pula, dia dilihat sedang makan tengah hari bersama rakan-rakan pelatih. Sekeping lagi gambar memaparkan dia memberikan isyarat ibu jari bersama senyuman lembut.
Gambar-gambar itu dikongsi melalui aplikasi rasmi tentera, The Camp.
Setiap pemuda Korea Selatan perlu menjalani perkhidmatan wajib tentera selama 18 bulan.
Tidak lama selepas gambar itu tular, ramai netizen memberikan komen antaranya: “Dia kelihatan tampan”.
“#Hoseok saya, saya sangat berbangga dengan awak,” tulis peminat lain. – Agensi