KEMAMAN – Seorang buruh kelapa sawit ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan melanggar seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan di Jalan Dato’ Chukai di sini semalam.
Suspek berusia 51 tahun juga disiasat atas dakwaan melakukan ugutan jenayah dan merosakkan kereta Perodua Axia ibu mentuanya berumur 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, perintah reman itu dibenarkan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan Sarjan Marina Ahmad, 36, cedera parah pada bahagian bahu apabila dirempuh kereta Proton Saga dipandu suspek.
Sebelum kejadian, lelaki itu dipercayai sedang mengejar kereta Perodua Axia dipandu ibu mentuanya yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini untuk menyelamatkan diri.
Suspek dikatakan berbalah merebut harta dengan ibu mentuanya sebelum bertindak memukul kereta Perodua Axia terbabit dengan kayu. – KOSMO! ONLINE