KOTA BHARU – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sudah memaklumkan hasratnya untuk menyertai Pas sebagai wadah perjuangan baharu dalam dunia politik selepas dipecat sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh pada Februari lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, ‘figura’ politik Kelantan itu sudah memaklumkan hasrat tersebut pada awal Ramadan lagi dan pihaknya tidak mempunyai halangan untuk menerima kemasukan itu.
“Insya-Allah beliau (Annuar) bersama Pas,”katanya.
Mengulas lanjut mengenai sama ada Annuar akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau sebaliknya, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, perkara tersebut masih belum dibincangkan lagi.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, Pas sudah menerima lebih 20 pelawaan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ dilaporkan akan turut bersama PN. – KOSMO! ONLINE