KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang berlaku di ruang dapur kediamannya di Jalan Rahmat 3, Taman Oversease Union, di sini hari ini.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Khairul Nizat Mohammad Rokhi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melalui sistem MERS999 pada pukul 8.43 pagi.
Menurutnya, seramai sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita dapati kebakaran dipadamkan oleh orang awam melibatkan ruangan dapur dalam rumah kedai.
“Kejadian mengakibatkan seorang wanita warga tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia di dalam bilik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, kemusnahan kebakaran dianggarkan 100 peratus melibatkan ruangan dapur kira-kira 9 meter persegi.
“Operasi berjaya dikawal pada pukul 8.53 pagi, namun punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.