PUTRAJAYA – Pentadbir dibenarkan menutup sekolah jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
Itu antara garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.
Surat siaran garis panduan dan pekeliling berkaitan situasi itu dikeluarkan kelmarin yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Norisah Suhaili.
Menerusi surat siaran itu, institusi pendidikan di bawah KPM termasuk sekolah dibenarkan ditutup jika kawasan mereka diisytiharkan heatwave (gelombang haba) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Selain itu, semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
“Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu amaran pertama ini ialah seperti merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan luar bangunan serta pertanian,” katanya.
Katanya, pentadbir perlu sentiasa memantau status suhu harian bagi cuaca panas setiap hari di daerah masing-masing yang dikeluarkan MetMalaysia.
“Penutupan institusi pendidikan hendaklah dimaklumkan pentadbir kepada Pendaftar dengan serta-merta secara lisan dan bertulis menggunakan apa-apa medium sesuai.
“Ibu bapa juga dibenarkan membawa anak ke hospital atau balik ke rumah jika anak mereka didapati tidak sihat ketika berada di sekolah,” jelasnya.
Ujarnya, pentadbir juga perlu memastikan bilik mempunyai pengudaraan baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan murid bagi mengelakkan sebarang risiko berkaitan strok haba berlaku serta penyakit yang lain.
Kosmo! semalam melaporkan, rata-rata ibu bapa menggesa supaya pemakaian tali leher dan ves di sekolah dikecualikan sementara berikutan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini. -KOSMO! ONLINE