PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar dilaporkan semakin sesak akibat kejadian kereta terbakar.
Perkara itu dimaklumkan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dalam hantaran di Twitter sebentar tadi.
“Terdapat kejadian kereta terbakar di Kilometer 257.8 arah Selatan dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar menyebabkan lorong kiri terhalang,” katanya.
Ujarnya, bagi arah selatan, trafik perlahan sebelum Persimpangan Sungkai ke Slim River, Gopeng ke Tapah, Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Seberang Jaya ke Perai, Plaza tol Sg. Dua ke Permatang Pauh.
Dalam pada itu, menerusi tinjauan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) LLM, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) juga dilihat sesak susulan pertambahan kenderaan sejak pagi tadi.
Ia melibatkan kawasan di sekitar Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE