KULIM – Seorang wanita menemui ajal selepas dilanggar kereta yang dipandu suaminya dalam kejadian di Taman Selasih, di sini kelmarin.
Kejadian pukul 7 malam itu menyebabkan mangsa, G. Maliga, 59, mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa turun dari kereta Proton Saga selepas tertinggal barang di dalam rumah.
“Suami si mati berusia dalam lingkungan 60-an yang sedang mengundur kenderaan tertekan pedal minyak lalu terlanggar mangsa yang berada di sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Mohd. Redzuan, selain terlanggar isterinya, lelaki tersebut turut merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di hadapan rumahnya.
Sementara itu, jiran mangsa, Norazian Zainol Abidin, 39, berkata, dia terkejut melihat mangsa terperosok di bawah kereta selepas keluar untuk melihat kekecohan yang berlaku di luar rumahnya.
Pada mulanya, dia cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit bawah Proton Saga.
“Saya baru pulang dari kerja pukul 5.30 petang. Ketika itu hujan lebat, jadi tak dengar bunyi dentuman. Semasa berada di bilik, anak beritahu ada orang kena langgar di hadapan rumah.Saya keluar dan dengar jiran menjerit meminta tolong. Ada orang di bawah kereta,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Norazian, mangsa berada di bawah kereta dengan tayar bahagian penumpang hadapan berada atas dadanya manakala pintu kereta terbuka.
Ujarnya, dia bersama beberapa jiran wanita cuba menarik keluar mangsa, namun gagal kerana terlalu berat.“Beberapa jiran lelaki datang membantu mengangkat kereta itu dan mangsa dapat dibawa keluar. Ketika itu, dia sudah tidak sedarkan diri. Jiran kemudiannya menghubungi ambulans dan polis,” katanya.
Norazian berkata, suami mangsa masih terkejut dengan kejadian itu.