PETALING JAYA – Fenomena cuaca panas dan kering melanda beberapa negeri ketika ini memberi kesan yang mendalam terutamanya kepada pengguna yang bergantung kepada air telaga sebagai kegunaan harian.
Menerusi perkongsian di laman Facebook oleh seorang individu dikenali sebagai Izham Alias memberitahu bahawa rumah sewanya di Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan turut mengalami nasib sama apabila telaga yang dibina sudah kering.
Maklumnya lagi, sudah hampir empat hari telaga terbabit tiada air dan kering dan jika ada sekali pun, hanya mampu disedut menggunakan pam selama lima minit sebelum ia kering semula.
Susulan itu katanya, dia terpaksa mencatu air dan menggunakan sumber air yang didapati di kawasan lain buat sementara waktu.
“Beberapa jiran pun cerita mereka menghadapi kesukaran dalam menyedut air dari telaga.
“Rumah sewa saya ini mula kering telaga dek tanah di sebelah mula dilapangkan untuk membina rumah. Jadi simpanan air bawah tanah mula tiada apabila pokok-pokok ditebang.
“Jiran belakang rumah kata perlu korek lagi dalam 10 kaki (3.04 meter), nanti jumpalah air. Oleh itu saya masih mencari tukang yang boleh menggali telaga bagi mendalamkan telaga sedia ada,” tulisnya.
Pada masa sama, Izham menjelaskan bahawa pemilik rumah sebelum ini telah cuba menggunakan telaga tiub tetapi sehingga kedalaman 80 kaki (24.38 meter) pun masih tidak menjumpai punca air.
Jelasnya, kebanyakan jirannya tidak guna khidmat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana pemasangannya tinggi dan air juga belum tentu sampai ke kediaman kerana terletak di kawasan berbukit.
“Apapun, ini adalah cabaran bagi kami yang tinggal di Kelantan. Moga cepat musim hujan tiba,”jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna turut berkongsi kisah sama dan ada mendakwa keadaan itu sudah berlarutan sejak sebelum Ramadan lagi.
“Rumah mak saya kat Salor, Pasir Mas bulan puasa lagi telaga kering, telaga itu sudah berusia 50 tahun dan tak pernah kering sebelum ini, “tulis Nuyu Ain.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Norazlina Iena.
“Rumah kawan saya di Melawi, Bachok pun sama kata air telaga rumahnya dah kering. Guna sekejap tak ada dah air, kena tunggu dulu baru boleh guna air balik,” luahnya. -KOSMO! ONLINE.