PETALING JAYA – Sakit lutut kebiasaannya dihidapi oleh warga emas dan ada yang menderita sehingga tidak mampu melaksanakan aktiviti biasa seperti menaiki tangga dan juga mencangkung.
Jika penyakit tersebut dibiarkan tanpa dirawat pada peringkat awal, ia akan menjejaskan tahap kesihatan untuk jangka panjang.
Menurut kajian, sakit lutut boleh dijadikan sebagai peramal untuk osteoarthritis lutut, iaitu penyakit radang sendi lutut.
Melalui kajian tersebut, ia mendapati bahawa individu yang mengalami sakit lutut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapati osteoarthritis lutut apabila dibanding dengan individu tanpa sakit lutut.
Hal ini boleh disebabkan oleh keradangan yang sedia ada di dalam sendi dan kekurangan pergerakan akibat sakit lutut.
Sebagai kesannya, sendi lutut turut dirosakkan dan sakit lutut makin meningkat.
Menurut Ahli fisioterapi, Chen Wei Vvy, antara punca sakit lutut adalah kerana faktor penuaan yang mana peningkatan umur disertai oleh degenerasi pada struktur-struktur di dalam sendi lutut seperti tulang rawan lutut dan meniskus yang boleh menyebabkan keradangan di dalam lutut.
“Berlaku trauma termasuk hentakan atau pemusingan sendi lutut boleh menyebabkan kecederaan pada ligamen dan meniskus pada sendi lutut. Akibatnya, pesakit akan mengalami sakit yang teramat sangat dan kehilangan fungsi lutut sehingga pemulihan sepenuhnya.
“Penggunaan lutut berulang-ulang juga boleh menyebabkan ketegangan otot dan tekanan pada sendi lutut. Kesannya, struktur-struktur pada sendi lutut akan dicederakan dan mengakibatkan kesakitan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Wei Vvy berkata, walaupun osteoarthritis lutut bukan sesuatu penyakit yang berbahaya, namun ia menghalang pesakit daripada melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Sehubungan itu, beliau memberi beberapa tips terbaik untuk mengurangkan sakit lutut iaitu dengan menggunakan pek panas atau tuala panas kerana ia boleh melegakan otot peha yang tegang dan seterusnya mengurangkan sakit pada sendi lutut.
“Sesetengah kajian menyatakan bahawa pek panas adalah lebih efektif daripada pek sejuk untuk mengurangkan sakit lutut,” ujarnya.
Selain itu, senaman yang sesuai juga untuk merawat penyakit lutut yang mana sakit tersebut disebabkan oleh ketegangan atau kelemahan pada otot kaki.
“Oleh itu, senaman regangan dan penguatan untuk otot kaki boleh tolong mengurangkan sakit pada sendi lutut,” ujarnya.
Wei Vvy juga menggalakkan agar pesakit mengurangkan berat badan kerana berat yang berlebihan boleh meningkatkan bebananpada sendi lutut dan seterusnya mengakibatkan sakit lutut.
“Oleh itu, program senaman dan diet yang bersesuaian boleh mengurangkan sakit lutut secara berkesan.
“Jika anda sedang menanggung kesakitan di sendi lutut, anda digalakkan berjumpa ahli fisioterapi untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan untuk lutut anda. Oleh itu, ia boleh mengurangkan atau menghilangkan sakit lutut sebelum degenerasi yang seterusnya mula berlaku,” terangnya. -KOSMO! ONLINE