fbpx

Perantau redah sesak, pulang awal dua hari sebelum buka sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Anak perantauan sanggup meredah kesesakan di lebuh raya utama selain ada yang mengambil keputusan pulang dua hari lebih awal bagi membuat persiapan persekolahan anak-anak bermula Selasa ini.

Rata-rata yang ditemui Kosmo! mengatakan, mereka terpaksa menghabiskan masa yang panjang di dalam kereta semata-mata mahu pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

Seorang anak perantauan dari Kedah, Azman Adnan, 34, berkata, dia mengambil masa kira-kira hampir dua jam dari Sungai Petani di Kedah menunju ke plaza tol Sungai Dua petang tadi.

“Kebiasaannya, masa yang diambil hanyalah 30 hingga 40 minit sahaja. Hari ini, masih banyak kenderaan dilihat keluar dari sebelah utara menuju ke arah selatan.

“Saya sekeluarga ambil keputusan pulang ke kediaman dua hari lebih awal kerana mahu membuat persiapan persekolahan anak-anak. Jika pulang esok, mungkin kesesakan akan bertambah,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Sementara itu, seorang lagi kakitangan kerajaan, Juliana Hashim, 40, pula memberitahu, dia tidak menyangka masih berlaku kesesakan di lebuh raya meskipun memilih pulang ke kediaman di Kuala Lumpur dua hari sebelum sesi persekolahan bermula.

“Melihat keadaan sebegini (sesak) dan ditambah pula dengan cuaca yang panas terlampau, harapan kami sebagai ibu bapa agar kerajaan menimbang keputusan untuk melanjutkan lagi cuti persekolahan pada minggu ini.

“Tiga anak saya bersekolah petang. Memang tidak boleh fikir bagaimana mereka hendak belajar dalam keadaan cuaca panas di dalam kelas nanti. Berada di dalam kereta untuk tempoh hanya sejam pun sudah tidak selesa, apatah lagi kelas yang hanya berkipas,” jelasnya.

Terdahulu, tinjauan Kosmo! di plaza tol Sungai Dua, Juru dan Jambatan Pulau Pinang di sini petang tadi mendapati berlaku pertambahan kenderaan dari arah utara ke selatan sejak pukul 12 tengah hari tadi.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, jemaah menteri akan membincangkan sama ada untuk melanjutkan cuti persekolahan atau sebaliknya berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI