PUTRAJAYA – UMNO yakin Lembaga Pengampunan akan memilih waktu paling sesuai bagi membincangkan agenda pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku sekretariat kepada Lembaga Pengampunan akan menguruskan perkara itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh BHEUU JPM kelak.
“Sebagaimana kita tahu bahawa agenda pengampunan Najib tidak dimasukkan pada Persidangan Lembaga Pengampunan yang berlangsung Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Seri Satria, di sini hari ini.
Ditanya berhubung kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan pimpinan Amanah dan berpendapat ia bukan pendirian parti berkenaan.
“Saya harap beliau (Khalid) dapat membezakan pendapat peribadi dengan pendirian parti keseluruhannya. Bagi saya, beliau harus belajar menghormati rakan-rakan parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE