JOHOR BAHRU – Penduduk Felda Ulu Tebrau di sini hidup dalam ketakutan apabila mengesyaki seekor harimau sedang berkeliaran di kawasan itu ketika ini hingga menyebabkan sebahagian ternakan mereka mati akibat diserang.
Ujang Hassan, 53, berkata, kehadiran haiwan berkenaan heboh diperkatakan sejak empat hari lalu selepas penduduk menemui bangkai beberapa ternakan dan tapak kaki pak belang.
Katanya, sebelum ini lembu yang dilepaskan di kawasan kebun kelapa sawit tidak pernah diusik atau menjadi mangsa serangan mana-mana haiwan buas.
“Lima tahun lalu, penduduk ada mendakwa ternampak kelibat harimau di sini tetapi tiada ternakan yang mati dibaham.
“Pihak Perhilitan ada datang di sini untuk memasang kamera dan perangkap selepas menerima aduan mengenainya,” kata peniaga itu.
Menurut Ujang, Perhilitan serta penduduk kampung juga belum dapat mengenal pasti spesies harimau tersebut.
Tambahnya, berdasarkan penemuan tapak kaki haiwan itu, ukuran dan saiz menunjukkan ia adalah besar dan sudah dewasa selain berdasarkan jarak antara tapak kaki harimau tersebut.
Sementara itu, Ismail Maarop, 46, yang merupakan seorang pekebun pula memberitahu, pekerja di kawasan kebun sudah mula bercakap tentang kewujudan haiwan itu sejak awal minggu lalu.
“Mula-mula, hanya pekerja dan pihak pengurusan ladang bercakap mengenainya, namun ia menjadi kecoh selepas penemuan bangkai haiwan ternakan.
“Penduduk berharap agar pihak berkuasa berusaha untuk menangkap haiwan itu dengan secepat mungkin kerana memberi ancaman kepada penduduk, khususnya kanak-kanak yang masih kecil,” katanya.
Ujar Ismail, ia ekoran kawasan kebun sawit yang ditemukan bangkai lembu dengan kawasan perumahan penduduk berjarak kira-kira dua kilometer sahaja.
Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin pula memberitahu, pihaknya telah menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan.
“Perhilitan telah memasang perangkap kamera bagi mengenal pasti haiwan berkenaan. Kami menjangka ia hanya melibatkan seekor harimau yang datang dari kawasan Kota Tinggi dan melintas di sekitar lokasi ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE