KENOSHA, WISCONSIN – Seorang pemandu berjaya keluar dari kereta dalam keadaan selamat ketika api marak membakar kenderaan itu yang disebabkan tayar pancit, lapor laman berita Daily Star semalam.
Kejadian itu bermula apabila pegawai polis di Wisconsin, Amerika Syarikat terlihat kereta tersebut dipandu dalam keadaan terdapat percikan api pada tayar pancit yang sedang bergerak, Selasa lalu.
Dalam video dramatik yang dirakam dari kenderaan polis, anggota yang berada di dalamnya mengekori kereta yang dipandu lelaki berusia 84 tahun itu dan memaklumkannya supaya berhenti.
Percikan api itu dengan cepat bertukar menjadi api marak apabila lelaki itu membelok ke kiri dan meneruskan pemanduan di jalan raya serta enggan mengikut arahan polis yang memintanya supaya berhenti.
Kenderaan polis kemudian memecut dan memintas kereta berkenaan.
Seorang pegawai polis kemudian keluar dan berlari ke arah kereta yang terbakar itu ketika api merebak ke bahagian belakang kenderaan.
Polis kemudian berjaya membawa pemandunya keluar sebelum terlambat. – Agensi