PETALING JAYA – Negara akan mengalami kerugian tenaga kerja profesional sekiranya masih ramai orang muda dan pelajar memilih bekerja dalam sektor ekonomi gig.
Ahli Akademik, Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mohamed berkata, keadaan itu berlaku kerana pelajar dalam bidang profesional berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam kerjaya berdasarkan pencapaian akademik mereka.
“Jika terus-terusan kekal sebagai rider, maknanya ilmu yang dipelajari di universiti tidak dapat dikembangkan.
“Mungkin ketika ini situasi ekonomi tidak sebagaimana yang diharapkan dan kerja sebagai rider adalah satu usaha sementara untuk elak daripada menjadi penganggur,” katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan Kosmo! semalam mengenai rider dan pemandu e-hailing mula mengeluh apabila mereka kini sukar untuk mencari pekerjaan dalam bidang lain kerana tiada pengalaman industri yang diperlukan majikan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan p-hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani menasihatkan pelajar dan orang muda menimba ilmu dan pengalaman kerja dan jangan ghairah menyertai ekonomi gig yang akan menyebabkan mereka lalai dengan sumber wang pantas tetapi tidak mempunyai masa depan.
Katanya, p-hailing terdedah kepada risiko kemalangan yang akan menyebabkan kematian atau kehilangan tempat bergantung sekiranya mengalami kecacatan kekal.
Katanya, dia bukan bermaksud hendak melunturkan semangat sesiapa tetapi ia merupakan asas dan fakta dalam ekonomi gig.
“Jika pelajar patah kaki akibat kemalangan akan makan masa enam bulan untuk baik dan tidak boleh pergi kelas. Ia satu kerugian.
“Kita bimbang kerana ada pelajar yang menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tergoda dengan pendapatan lumayan seperti didakwa,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Abdul Hakim, ada pelajar yang sanggup berhenti belajar dan ia sangat merungsingkan pihaknya.
Tambahnya, p-hailing hanya sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dan bukannya buat pelajar yang perlu merebut peluang timba ilmu dan pengalaman kerja.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, kerajaan perlu campur tangan bagi menangani kemerosotan upah melibatkan penunggang p-hailing ketika ini.
“Ia berlarutan sejak tiga tahun lalu. Antara punca rider mengeluh ialah mereka tidak mempunyai double order,” katanya.
Ujar Abdul Hakim, ia seperti pihak syarikat cuba menekan rider dan kerajaan perlu campur tangan untuk membetulkan keadaan tersebut. -KOSMO! ONLINE