BANGKOK – Seorang pemuda dipercayai menembak mati seorang wanita yang gagal dipikatnya sebelum bertindak membunuh diri di sebuah kedai menjual cederamata di wilayah Chon Buri, Thailand, semalam, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Penyiasat dari Balai Polis Samet bersama pegawai polis dan penyelamat dari Yayasan Tri Khun Tham pergi melawat tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
Sejurus tiba, pihak berkuasa menemui mayat lelaki berusia 33 tahun dikenali sebagai Jirawat, dalam keadaan tertiarap berhampiran mayat mangsa, Suchira, 32.
Sepucuk pistol 11 milimeter turut ditemui di sebelah mayat Jirawat.
Pemilik kedai itu berkata, Suchira yang dibunuh secara tragis dalam kejadian itu merupakan anak perempuannya.
Dia menjelaskan bahawa Jirawat ialah rakan Suchira dan pemuda itu telah memikatnya, namun ditolak oleh mangsa.
Ekoran kekecewaannya, Jirawat dipercayai menyerbu masuk ke dalam kedai itu bersenjatakan pistol di mana dia terus menembak mati Suchira sebelum membunuh dirinya sendiri dengan senjata api tersebut.
Polis masih lagi menyiasat kejadian itu. – Agensi