fbpx

Jurutol ceria bekerja pagi Syawal, dapat duit raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja tol masih perlu bertugas pada musim perayaan demi kelancaran trafik untuk perantau yang pulang ke kampung halaman.. - FARIZ RUSADIO

GOMBAK – Suasana meriah pada hari raya tidak pernah pudar bagi pekerja jurutol yang terpaksa bertugas pada pera­yaan Aidilfitri setiap tahun.

Seorang jurutol, Azhar Osman, 45, berkata, kesedihan bekerja pada hari raya sedikit terubat apabila ada pengguna jalan raya yang berkongsi rezeki dengan memberikan sampul berisi duit raya.

Malah pada hari lebaran itu, Azhar memberitahu, dia dan rakan-rakan sekerja akan me­ngenakan baju Melayu bagi menaikkan mood pada pagi 1 Sya­wal.

“Biasanya pada pagi raya, saya akan membuat panggilan telefon kepada ahli keluarga yang berada di rumah.

“Ini merupakan tahun kelima saya bertugas waktu perayaan Aidilfitri, giliran bercuti pada musim raya nampaknya masih belum menyebelahi saya, mungkin pada tahun hadapan.

“Saya akui sukar nak dapat cuti, memandangkan petugas kurang. Bagi saya tiada masalah sebab rumah keluarga dengan saudara-mara dekat,” katanya ketika ditemui baru-baru iin.

Dia yang bertugas di Plaza Tol Gombak tidak menafikan sayu hati kerana tidak dapat bersama-sama dengan ahli keluarga di pagi 1 Syawal.

“Walaupun sudah berusia, tetapi saya akui pemberian duit raya daripada pemandu kereta amat saya hargai.

“Sedih memang sedih, tetapi sekejap sahaja. Bila buat panggilan telefon dengan keluarga di rumah perasaan itu akan hilang. Majikan juga sediakan cenderahati buat pekerja yang bertugas, musim raya,” ujarnya.

Turut melahirkan perasaan sama, jurutol yang mahu dikenali sebagai Laila yang memberitahu, dia membawa bekalan makanan raya seperti lemang, ketupat dan rendang ke tempat kerja untuk dikongsi bersama rakan-rakan.

“Perayaan Aidilfitri ini setahun sekali, rasa ‘sayang’ untuk berasa sedih. Jadi saya bekalkan makanan dan kongsikan bersama rakan di pejabat sebelum bertugas di kaunter tol,” ujarnya.

Seorang lagi jurutol, Shaffiq Razali, 32, berkata, tiada istilah cuti raya kerana kerjayanya itu diperlukan bagi memastikan kelancaran trafik di plaza tol.

“Kalau tiada kita, siapa yang akan jaga tol sekiranya ada pengguna yang baki kad tidak mencukupi, jadi kita akan bantu mereka.

“Buat pemandu kereta, saya nasihatkan tambah nilai kad Touch n’ Go, simpan dan paling penting kawal perasaan marah ketika berada di jalan raya. Ja­ngan marah kami (jurutol), kami hendak mudahkan semua pengguna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI