PETALING JAYA – Tindakan membuli petugas media perlu dihentikan kerana mereka bukan peserta program realiti yang perlu dimalukan atau ‘disekolahkan’ depan khalayak ramai.
Perkara tersebut ditegaskan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang mengingatkan pihak berkaitan termasuk artis, ahli politik atau menteri supaya jangan menjadikan perbuatan memperlekehkan pengamal media sebagai ‘budaya’.
Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah berkata, dalam hal membabitkan Datuk Hattan dengan pembaca berita Astro Awani, penyanyi senior itu diharap dapat bersikap profesional, bukan beremosi.
“Dalam isu membabitkan penyampai berita itu, NUJ berharap Hattan yang mempunyai hampir empat dekad pengalaman dalam industri muzik dapat menunjukkan sikap profesional sekiranya tidak mahu menjawab soalan diajukan.
“Beliau boleh saja menolak pertanyaan itu secara baik dan beradab, namun memilih memberikan maklum balas yang lari jauh daripada soalan.
“Cubalah belajar menghormati orang lain dan sebagai individu popular, sepatutnya beliau menunjukkan teladan baik kepada semua terutama generasi muda,” katanya.
Pada masa sama, Farah turut berharap pemilik nama sebenar Mohd. Shukri Shahabudin, 58, itu menyedari ketelanjurannya dan bersedia membuat permohonan maaf.
“Sehubungan itu, NUJ menggesa Hattan memohon maaf secara terbuka susulan tindakan ketika siaran langsung itu, yang bukan sahaja memalukan, malah seakan membuli dan memperlekehkan tugas pengamal media.
“NUJ merasakan tidak salah pun untuk bermaaf-maafan terutama ketika kita masih dalam bulan Syawal.
“Dalam hal ini, NUJ memuji penyampai berita berkenaan yang terus kekal tenang dan profesional berdepan situasi sebegitu,” katanya.
Menurutnya lagi, perbuatan ditunjukkan individu berpengaruh seperti Hattan jika dibiarkan berpotensi mencetuskan rantaian ‘chain of events’, di mana orang lain juga boleh bertindak kurang ajar dengan petugas media selepas ini.
Sejak semalam nama Hattan ‘trending’ di Twitter sekaligus menjadi polemik selepas insiden menempelak penyampai berita Astro Awani yang didakwanya tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan. – KOSMO! ONLINE