LONDON – Satu gol yang dihasilkan ketika bantu kemenangan 2-1 Manchester City ke atas Fulham di Craven Cottage, sebentar tadi menyaksikan Erling Haaland meleburkan rekod 92 tahun sebagai pemain pertama yang meledak 50 gol semusim sejak 1931.
Jaringan yang dihasilkan menerusi sepakan penalti itu juga menyaksikan bintang dari Norway berkenaan turut menyamai catatan 34 jaringan sebagai rekod gol terbanyak Liga Perdana Inggeris dalam semusim yang pernah dilakukan oleh Alan Shearer dan Andy Cole.
Enam belas lagi gol yang dihasilkan Haaland setakat ini adalah 12 dalam saingan Liga Juara-Juara, tiga di Piala FA dan satu jaringan di pentas Piala Liga Inggeris.
Terdahulu, sepakan penalti Haaland seawal minit ketiga memastikan permulaan sempurna buat Man. City namun 12 minit selepas itu kedudukkan kembali seimbang selepas Fulham memperoleh gol penyamaan menerusi Carlos Vinicius.
Selepas menjadi pencetus kepada jaringan pertama, minit ke-36, Julian Alvarez memastikan babak pertama menjadi milik The Cityzens selepas lencongan dilakukannya dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Bernd Leno.
Ketika pelawat lebih mendominasi permainan di babak kedua, Pep Guardiola seakan tidak mampu duduk senang untuk menyaksikan corak persembahan anak buahnya terutamanya selepas mempersiakan beberapa peluang terbaik bagi memburu gol tambahan.
Fulham tidak terlalu tertumpu kepada tugasan bertahan namun gerakan yang cuba diatur gagal disudah dengan jaringan untuk mengesahkan tiga mata buat Man. City.
Kemenangan ini juga menyaksikan Man. City merampas takhta liga daripada Arsenal memandangkan The Gunners hanya akan turun beraksi menentang Chelsea, awal pagi Rabu ini. – KOSMO! ONLINE