PASIR MAS – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah restoran makanan segera dekat Rantau Panjang, enam tahun lalu.
Tertuduh, Saw Kim San, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Lee Boon Guan, 39.
Perbuatan itu dilakukan oleh Kim San di sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang dekat sini kira-kira pukul 5.58 petang pada 17 Ogos 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut ditikam di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, Rantau Panjang.
Mangsa dipercayai sedang makan di tingkat satu premis tersebut bersama seorang wanita berusia 30-an sebelum didatangi suspek yang terus menikamnya.
Lelaki itu cedera pada bahagian belakang dan dada mangsa akibat tikaman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE.