fbpx

Britain pertimbang pakai semula pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka mungkin dilaksanakan semula ekoran meningkatkan kes Arcturus di Britain. - Foto AFP/Getty Images

LONDON – Ketua-ketua kesihatan Britain berdepan penularan jangkitan subvarian baharu Covid-19 yang berkemungkinan menyaksikan peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam dilaksanakan semula tidak lama lagi, lapor portal berita Daily Star.

Subvarian dikenali sebagai Arcturus itu sangat mudah berjangkit dan semakin merebak terutamanya di Amerika Syarikat (AS), Australia dan India di mana lima rakyat Britain meninggal dunia akibat jangkitan tersebut.

Arcturus telah merebak ke seluruh Britain dan dikesan di seluruh rantau England kecuali bahagian Timur Laut. Lebih 100 kes Arcturus dikesan di England setakat ini.

Ia yang merupakan subvarian Omicron dan juga dikenali sebagai XBB.1.16, mencetuskan kebimbangan pakar-pakar kesihatan. Pengerusi penasihat badan saintifik SAGE, Profesor Stephen Griffin berkata, orang ramai harus kembali melakukan saringan berkala serta memakai pelitup muka.

Katanya kepada portal berita MailOnline: “Ia mungkin kelihatan seperti mengimbau semula tahun pandemik tetapi realitinya virus Covid-19 berterusan mendatangkan kemudaratan dan mereka yang gagal menangani­nya akan terus menderita.

“Jika kerajaan tidak mahu bertindak bagi membolehkan semua orang ‘hidup’ bersama dengan Covid-19, mereka yang terdedah harus mengambil langkah berjaga-jaga,” kata Griffin.
Profesor berkenaan menyeru majikan dan kerajaan supaya menyokong orang ramai apabila mereka tidak sihat dan perlu mengasingkan diri.

Beliau turut menggalakkan orang dewasa memakai pelitup muka N95 atau pelitup muka berkualiti tinggi lain apabila berada di ‘ruang dalaman’ yang kurang pengudaraan atau menaiki pengangkutan awam.

Sebahagian hospital dan kemudahan milik Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) masih meminta pesakit untuk memakai pelitup muka sebelum memasuki bangunannya walaupun ia tidak lagi diwajibkan.

XBB.1.16 berasal daripada dua varian dominan Omicron iaitu BA.1 dan BA.2 yang mencetuskan masalah serius di Britain. Ia menyumbang lebih separuh daripada kes baharu koronavirus di seluruh dunia.

Dalam pada itu, seorang pakar kesihatan awam di Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London, Profesor Martin McKee berkata: “Covid-19 masih bersama kita dan kekal sebagai ancaman kepada kesihatan.”

Data pengawasan menunjukkan Arcturus membentuk kira-kira 2.3 peratus daripada semua kes baharu Covid-19 dan kadar itu meningkat tiga kali ganda sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun, pakar-pakar berkata, setakat ini tiada bukti bahawa subvarian Covid-19 itu menyebabkan gejala lebih serius berbanding virus sebelumnya dengan pesakit mengalami simpton lebih ringan seperti sele­sema.

XBB.1.16 mempunyai tiga mutasi tambahan pada protein pepakunya yang membantu ia mengelak sistem imunisasi semula jadi badan untuk muncul sebagai antara subvarian paling mudah berjangkit.

Sesetengah pakar mengesyaki Arcturus boleh mencetuskan kebangkitan semula Covid-19 sama seperti yang berlaku di India di mana ia pertama kali dikesan.

Angka tidak rasmi memba­yangkan bahawa kira-kira 70,000 rakyat Britain dijangkiti koronavirus setiap hari tetapi ia hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang dilihat semasa gelombang Covid-19 sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI