PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Hardi M. Arifin yang kembali ke rahmatullah hari ini.
Anwar berkata, berita kematian Hardi, 84, merupakan satu perkhabaran duka buat beliau.
“Almarhum Pak Hardi yang saya kenali merupakan pembina Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia (DDII) bersama Pak Natsir serta terlibat dalam mengasaskan Universitas Ibnu Khaldun, Bogor.
“Saya utuskan salam takziah buat keluarga dan teman-teman di Indonesia yang saya pasti amat terkesan dengan kehilangan Almarhum Pak Hardi yang amat kita kasihi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, beliau mendoakan agar Allah S.W.T memberikan ganjaran dan tempat yang terbaik buat Allahyarham.
Hardi merupakan bekas aktivis Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII) sekitar tahun 60-an. – KOSMO! ONLINE