PETALING JAYA – Akaun Telegram bernama ‘Edisi Siasat’ menyebarkan info palsu, jelas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai juga meminta orang ramai supaya tidak terpedaya.
“Sekali baca pun boleh nampak kenyataan media’ ini salah format.
“Direka-reka pihak yang benci Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Fahmi turut memuat naik tangkap layar info palsu yang disiarkan menerusi akaun Telegram tersebut.
Ia melibatkan ‘kenyataan media’ konon dikeluarkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar berhubung Himpunan Madani.
Kenyataan palsu AMK Alor Setar itu mendakwa sayap parti Cabang PKR membantah kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada himpunan tersebut. – KOSMO! ONLINE