SHAH ALAM – Tapak binaan dan sebuah penjana kuasa elektrik dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau dan minyak diesel di Sungai Batu berdekatan inap desa di Jalan Ulu Yam Baru, Hutan Lipur Sungai Tua, semalam.
Perakra itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas menerima maklumat daripada orang awam dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pencemaran tersebut dikhuatiri memasuki Empangan Batu dan berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Batu.
Katanya, insiden itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 pagi hingga 12 tengahari kelmarin dan kesan minyak berkenaan hilang ekoran hujan lebat.
“Pemeriksaan awal LUAS mendapati tiada kesan bau atau minyak dan operasi LRA berjalan seperti biasa.
“Namun, siasatan lanjut mendapati pencemaran berpunca tapak pembinaan yang beroperasi berdekatan inap desa itu dan sebuah penjana kuasa ditemui dengan kesan tumpahan minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loy Sian menegaskan, pemilik tapak binaan itu diarah supaya segera melaksanakan tindakan mitigasi dan kawalan.
Tambah beliau, mereka juga diminta meletakkan dulang takungan di bawah penjana kuasa itu dan mengalihkannya dari kawasan sungai berdekatan.
“LUAS telah mengeluarkan Arahan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik tapak bagi menjalankan kerja pemulihan berdasarkan penilaian risiko dan ancaman kepada sumber air. Tiada gangguan kepada operasi LRA dilaporkan setakat ini,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE