fbpx

Perginya Mael XPDC, hilangnya seorang rockers sejati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERSAMA XPDC, Mael mencipta sejarah panjang dan pengaruh kuat ke jiwa peminat rock metal di Malaysia.

BAIT-bait lirik daripada judul Titian Perjalanan pantas memberitahu bahawa hidup hanyalah persinggahan sementara.

‘Saat ditunggu, hampir lumpuh. Tenang kurindukan, bayangan semalam’. Potongan lirik penuh mesej nurani lantunan Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim ketika hayat dikandung badan kini menjadi tinggalan khazanah bermakna.

Mael hidup sebagai seorang rockers sejati, namun ‘pergi’ menghadap Ilahi dengan bekalan duniawi yang memberi kesan menerusi karya hebat seperti Cinta Kenangan Silam, Aku Dan Sesuatu, Semangat Yang Hilang dan banyak karya besar agung lain.

Kehilangan Mael meninggalkan kesan bukan kepalang. Dunia rock tanah air tidak berkembang seperti sekarang andai bukan antara asbabnya datang daripada Mael.

SEMASA zaman kegemilangan dan sehingga kini, jolokan Raja Fun Fair tetap milik XPDC.

Hutang budi dengan Mael

Realiti tersebut diakui vokalis May iaitu Mus yang sangat terkesan dengan pemergian Allahyarham. Katanya, ‘kasih’ figura itu terhadap nuansa muzik rock tiada tolok gantinya.

“Muzik rock Malaysia berkembang dengan adanya insan hebat seperti Allahyarham. Dari zaman Tragedy (1985) hingga zaman XPDC, banyak jasa ditaburkan beliau.

“Kita terhutang budi kepadanya. Sekarang apa yang tinggal hanyalah tinggalan khazanah muzik serta memori yang masih berbekas dalam minda peminat.

“Kita barangkali kenal Allahyarham sebagai seorang rockers, namun kalau diamati mesej menerusi lagu, banyak pengajaran rohani yang boleh dijadikan pedoman hidup,” ungkap Mus.

Sepanjang mengenali arwah, di mata Mus, Mael seorang yang agak pendiam dan perahsia.

Sungguhpun begitu, jika sudah kenal rapat, arwah seorang yang sangat mesra dan periang.

“Kalau tak kenal rapat, Mael sangat sempoi, namun pada masa sama, sangat menjaga privasinya. Dia tak suka privasinya diganggu.

“Itulah Mael yang saya kenal. Jiwa rockers sangat tebal dalam dirinya,” katanya lagi.

DI mata Mus, Mael dan XPDC banyak mencorakkan gelombang muzik metal rock tanah air seperti yang dirasai ketika ini.

Hajat tak sampai

Pengurus XPDC, Mohd. Yazid pula memaklumkan, ada beberapa perihal yang tidak sempat dilaksanakan Allahyarham sewaktu babak akhir perjalanan hidup.

Katanya, Allahyarham bersama XPDC dijadualkan tampil dalam Konsert SoundValley Festival 2023 di Serdang pada 6 Mei depan.

Malah, menurut Yazid, 60, Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim teruja bertemu rakan lain selepas kali terakhir mereka beraksi bersama-sama seminggu sebelum puasa.

“Ikut jadual memang XPDC banyak undangan pentas musim raya ini. Arwah bercadang ke Kuala Lumpur awal Mei untuk berlatih.

“Arwah seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan sebab selepas persembahan sebelum Syawal, kamu banyak berhubung menerusi WhatsApp saja.

“Memang dia nampak bersemangat. Masa hari raya pun kami ada berbual hal sama. Ternyata, Allah lebih menyayanginya,” kata Yazid beremosi.

Lebih empat dekad mengenali Mael, semangat kuat rakannya itu antara perkara yang layak dikagumi.

“Kami berkawan sebelum sama-sama bersatu dalam Tragedy. Kecenderungan terhadap muzik dan semangatnya tidak pernah luntur.

“Walaupun menghidap asma sejak bujang hingga tahap kesihatannya menurun seiring faktor penyakit, Mael tetap meneruskan perjuangan,” katanya.

Mengimbas kegemilangan XPDC yang asalnya bermula sebagai Tragedy, Mael merupakan pengasas kedua-dua band rock tersebut seawal 1985 yang kemudian ditukar menjadi XPDC tiga tahun kemudian.

Bekas gitaris Wings, Joe antara sahabat yang sempat memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Mael.

Sejarah gemilang

Sepanjang bergelar artis rakaman sejak awal 1990-an, XPDC yang dikenali sebagai Raja Fun Fair melalui seribu suka duka, jatuh bangun dan konflik dalaman

Mael bersama XPDC merakamkan empat album fizikal, Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992) Kita Peng-Yu (1994) dan Brutal (1997).

Album Kita Peng-Yu serta Brutal mencetuskan fenomena apabila terjual melebihi 350,000 unit.

Antara seleksi lagu XPDC yang menjadi siulan kaki rock hingga kini termasuk C. I. N.T.A, Nafisa, Hentian Ini, Aku dan Sesuatu, C T Cinta Kenangan Silam dan Titian Perjalanan.

Album Brutal turut menyaksikan pengunduran Mael dengan posisi vokalis diisi Ali Terra Rossa, malah selepas itu kemelut dalaman band yang dianggap Metallica Malaysia itu semakin rumit apabila berlaku lagi perpecahan yang menyaksikan kumpulan ini terbahagi dua, XPDC dan Real XPDC.

Satu perjalanan hidup yang indah dibentangkan buat insan bernama Mael XPDC.

Perginya ke negeri abadi barangkali dilihat daripada kaca mata kasar, seorang rockers sejati, namun titipan pesanan melalui mahakaryanya tetap mekar dalam hati selautan peminat.

Al-Fatihah buat Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim (7 Mac 1967 – 27 April 2023).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI