PASIR SALAK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan menjadikan Pasir Salak sebagai sebuah daerah penuh di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menyokong usaha menaik taraf kawasan itu sekiranya permohonan tersebut dibawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Bagan Datuk telah pun diisytiharkan sebagai daerah penuh ke-12 di Perak. Insyallah, Bagan Datuk dan Pasir Salak akan sama-sama naik (membangun). Saya harap Khairul Azwan (Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak) usahakan agar Pasir Salak bukan menjadi daerah kecil Kampong Gajah, sebaliknya menjadi daerah penuh ke-13 di negeri ini.
“Jadi, runding elok-elok dengan Menteri Besar, selepas itu hantar permohonan kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Insya-Allah, saya wajib sokong jika dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di Dataran Pekan Kampung Gajah di sini hari ini.
Pada ucapan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan kelulusan projek bernilai RM4.5 juta bagi membina semula rumah kedai di pekan kecil Seberang Perak yang hangus terbakar Februari lalu dan projek perhubungan jalan desa serta naik taraf jalan-jalan kampung dalam Parlimen Pasir Salak.
Katanya, beberapa permohonan projek lain termasuk baik pulih dan naik taraf Kompleks Sejarah Pasir Salak, Kompleks Mini Stadium dan Litar Dato Sagor serta mempercepatkan projek naik taraf perairan padi Sungai Manik yang tergendala akan dibincang dengan menteri berkaitan.
“Saya ingin umumkan jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop yang sebelum ini dijadual dibuka pada Aidilfitri akan dibuka sepenuhnya pada 31 Mei depan. Saya harap pembangunan ini akan dimanfaatkan bukan sahaja dari segi infrastruktur, malah apa yang penting pembangunan ekonomi di kawasan Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE