GEORGE TOWN – Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) mempersoal keputusan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat mengenai perancangan masa depan supaya tidak ada kaum yang dipinggirkan dari pembangunan projek tambak laut atau Penang South Island (PSI).
Pengerusinya, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, adakah pimpinan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat akan memastikan ketiga-tiga pulau itu dihuni secara adil di antara rakyat Pulau Pinang, tempatan dan bukan warga negara.
“Mengimbas kembali projek tambakan laut di Tanjang Tokong yang kini dikenali sebagai Straits Quay atau Seri Tanjung Pinang, nelayan merana sepanjang projek tambakan dijalankan, berkemungkinan tambakan akan berakhir dalam tempoh melebihi 20 tahun.
“Cuba lihat siapakah yang tinggal di Straits Quay atau di Seri Tanjung Pinang pada masa ini, adakah golongan B40, gologan manakah yang memonopoli tanah dan rumah di sana kerana ia telah menjadi kawasan elit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan projek PSI itu telah memperoleh kelulusan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Mengulas lanjut, katanya, kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek penambakan Penang South Island (PSI) itu bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan Pulau Pinang tetapi kepada nelayan di Perak juga.
“Pencemaran laut juga akan memberi kesan langsung kepada negeri Perak kerana tanah laut akan diambil dari sana. Bagaimana pula dengan tanah-tanah merah dan batu-batu yang akan digunakan, dari mana semua itu akan diambil,” katanya.
Tambahnya, kelulusan EIA bagi projek PSI itu juga sudah diduga biarpun beberapa tahun dulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menentangnya, kini setelah berada dipuncak kuasa projek yang mendapat bantahan rakyat telah diluluskan.
“Apakah manfaatnya kepada rakyat, apakah benar hasil jualan tanah pulau ini nanti akan digunakan untuk membiayai projek infrastruktur negeri semata-mata atau ada agenda lain, kerajaan negeri lebih mengetahui.
“Malah Ketua Menteri yang akan mengetuai kerajaan pimpinan DAP pasti lebih mengetahui sasaran sebenar kerana projek ini akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE