fbpx

Manusia punca kemarau ekstrem, lebih panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan seorang wanita meneguk air akibat kemarau di Baidoa, Somalia pada tahun lalu. - Foto AFP/Getty Images

WASHINGTON – Kemarau tanpa henti yang menjejaskan negara-negara Tanduk Afrika dan menyebabkan lebih 20 juta orang berdepan krisis makanan, tidak akan berlaku tanpa perubahan iklim dunia, demikian menurut analisis baharu seperti dilaporkan saluran berita CNN.

Sejak Oktober 2020, kawasan Afrika Timur yang merupakan antara rantau paling miskin di dunia itu dilanda kemarau paling buruk dalam tempoh 40 tahun selepas lima musim hujan berturut-turut mengalami kegagalan. Perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Negara-negara Tanduk Afrika terdiri daripada Ethiopia, Djibouti, Kenya, Somalia, Sudan Selatan, Sudan dan Eritrea.

Kemarau berpanjangan membawa bencana pada sejumlah besar kawasan di Kenya, Somalia dan Ethiopia dengan berpuluh-puluh ribu orang terkorban, tanaman layu dan mati, ternakan kebuluran, manakala sumber air pula semakin terhad.

Tanpa perubahan iklim dunia akibat perbuatan manusia, kemarau dahsyat itu sukar berlaku.

Kesimpulan itu berdasarkan kajian yang diterbitkan kelmarin oleh World Weather Attribution (WWA) iaitu sebuah organisasi disertai oleh pasukan saintis antarabangsa dan ditubuhkan selepas dunia dilanda cuaca ekstrem. Mereka menganalisis data dan model-model iklim untuk menentukan impak perubahan

iklim dunia.

Pencemaran dan pemanasan Bumi berlaku akibat pembakaran bahan api fosil oleh manusia.Ia menyebabkan kebarangkalian berlakunya kemarau berpanjangan di negara-negara Tanduk Afrika meningkat 100 kali ganda, kata WWA.

Suhu ekstrem di rantau itu menyaksikan jumlah air menyejat daripada tumbuh-tumbuhan dan sumber air dalam tanah yang kering meningkat dengan ketara. Keadaan itu membawa kepada kerugian di bidang pertanian, kematian haiwan ternakan serta kekurangan air.

Suhu purata Bumi kini sekitar 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding semasa zaman praindustri pada akhir tahun 1800-an. Tanpa pemanasan yang berlaku, kata WWA, rantau Tanduk Afrika tidak akan mengalami kemarau pertanian sebegitu teruk.

Laporan itu mendapati walaupun perubahan iklim mengakibatkan taburan rendah semasa ‘musim hujan’ yang panjang di rantau tersebut antara bulan Mac hingga Mei, ia juga menyebabkan hujan renyai antara Oktober hingga Disember lebih basah.

Punca trend hujan renyai tidak berlaku di negara-negara Tanduk Afrika sejak beberapa tahun lalu adalah kerana pengaruh La Niña iaitu fenomena iklim semula jadi yang membawa cuaca kering ke rantau tersebut.

Pemanasan global yang disebabkan oleh manusia pula menjadikan kemarau di seluruh dunia lebih lama dan lebih ekstrem.

Kemarau teruk yang menjejaskan Hemisfera Utara pada musim panas tahun lalu, termasuk sebahagian besar Amerika Syarikat, Eropah dan China adalah 20 kali ganda lebih berkemungkinan disebabkan oleh krisis perubahan iklim, demikian menurut analisis daripada WWA.

Saintis-saintis berkata, kemarau akan menjadi lebih teruk jika dunia terus membakar bahan api fosil.

Kawasan yang sememangnya terdedah kepada kemarau menghadapi kesan paling teruk dengan bencana itu membawa kemusnahan di rantau Tanduk Afrika ketika penduduknya dibebani dengan pelbagai masalah termasuk kenaikan harga barang serta konflik dalaman.

Ramai penduduk rantau itu terdiri daripada petani yang bergantung kepada hujan untuk tanaman dan ternakan. Mereka semakin terjerumus ke dalam kemiskinan apabila tiada hujan turun dan sekurang-kurangnya 8 juta haiwan ternakan mati semasa musim kemarau.

“Ini memaksa orang ramai berhijrah ke tempat lain bagi mencari air atau padang rumput untuk ternakan dan kesinambungan hidup mereka,” kata penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah dan Palang Merah Antarabangsa Kenya, Phoebe Wafubwa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI