LONDON – Pihak pengurusan Chelsea akhirnya menemui calon sesuai untuk menjadi pengendali baharu selepas hampir pasti menawarkan kontrak buat jurulatih kelahiran Argentina, Mauricio Pochettino dengan perjanjian didedahkan secara rasmi minggu depan.
Difahamkan, kedua-dua pihak telah melakukan perbincangan sejak awal minggu ini selepas pengurusan tertinggi The Blues melakukan beberapa siri temuduga dengan calon jurulatih yang disenarai pendek.
Namun, Pochettino dilihat menjadi calon akhir yang menjadi pilihan untuk mengemudi Chelsea bermula musim depan dan kini hanya menunggu tawaran kontrak rasmi dengan persetujuan mengenai terma dan syarat.
Ini bukanlah kali pertama Chelsea ‘merisik’ bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG) itu memandangkan pihak pengurusan sudah mahukan khidmatnya untuk menggantikan posisi Thomas Tuchel pada September lepas.
Bagaimanapun, atas beberapa sebab yang tidak dapat didedahkan, Chelsea akhirnya melantik Graham Potter sebelum keputusan tersebut ‘memakan diri’ apabila jurulatih kelahiran England itu dipecat pada bulan lalu.
Cuma, Pochettino bukanlah pilihan pertama Chelsea untuk gantikan khidmat Potter kerana mereka terlebih dahulu menawarkan posisi tersebut kepada Julian Nagelsmann sebelum bekas pengendali Bayern Munich itu menolak kerana tidak yakin dengan projek jangka panjang pasukan.
Bekas pemain antarabangsa England, Gary Neville percaya, Chelsea telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih Pochettino kerana beliau memiliki pengalaman dalam pentas EPL bersama Tottenham Hotspur selain kepakaran membimbing pemain muda.
“Chelsea telah berbelanja besar dan pemilik kelab, Todd Boehly katakan bahawa mereka tidak akan mendapatkan pemain baharu lagi kecuali penyerang.
“Pochettino adalah orang yang tepat kerana dia boleh membimbing pemain muda di Chelsea, berbanding melantik jurulatih lain seperti Zinedine Zidane, Luis Enrique dan Diego Simeone yang pasti mahu berbelanja lagi untuk mendapat pemain idaman masing-masing,” katanya. – AGENSI