KOTA BHARU – Ibu bapa kepada seorang kanak-kanak yang maut kerana mengalami strok haba Selasa lalu terkilan dengan pihak hospital kerana mendakwa anak tunggalnya tidak diberi rawatan yang sewajarnya.
Imam sebuah madrasah, Ahmad Faris Fazli Mohd. Nasir, 24 dan isterinya, Yaware Samoh, 25, reda dengan kehilangan anaknya Nur Imani, 19 bulan, tetapi tertanya-tanya mengapa doktor bertugas tidak melakukan pemeriksaan dengan rapi keadaan kesihatan anaknya yang menghidap batuk sejak seminggu lalu.
Yaware ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kota, di sini, berkata, sehingga kini dia kesal terhadap doktor bertugas kerana mengarahkannya membawa pulang anak mereka walaupun pada masa itu, keadaan Nur Imani terlalu lemah.
“Saya dimaklumkan oleh salah seorang doktor bertugas, ketika itu anak saya masih aktif dan hanya memberitahu saya, hanya ada kemerahan dalam kerongkong.
“Pada masa sama, saya berasa pelik dengan tindakan doktor lalu bergegas keluar beritahu suami yang ketika itu berada di luar,” katanya.
Yaware berkata, dia dan suami tiba di rumah kira-kira pukul 11 malam dan keadaan anaknya semakin lemah dan hanya tidur sekejap-sekejap di pangkuan sambil merengek.
Katanya, selepas lapan jam berada di rumah, Nur Imani yang semakin kritikal disahkan meninggal dunia di ribaan ibu mentuanya, Wan Maheran Omar, 60 kira-kira pukul 7.20 pagi.
“Saya yang terkejut dan suami saya pengsan beberapa kali selepas mendapati Nur Imani sudah tiada lalu bergegas membawa mayat anak ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu untuk pengesahan.
“Doktor sahkan Nur Imani sudah meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati anak saya disahkan kena strok haba.
“Saya terima dengan seadanya tetapi kesal dengan tindakan hospital sehingga menyebabkan anak tunggal saya maut,” ujarnya.
Jelasnya, kejadian yang berlaku kepada anaknya boleh dijadikan iktibar kepada orang ramai pula selepas ini.
Katanya lagi, memang sudah sampai ajal anaknya tetapi dia jangkakan Nurul Imani boleh diselamatkan sekiranya doktor memberi rawatan lanjut.