PETALING JAYA – Pemain skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi masih berjaya mengesahkan tempat ke final RC Pro Series 2023 biarpun raketnya patah di peringkat separuh akhir awal pagi tadi.
Situasi itu tidak menjejaskan rentak Ainaa, 21, apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas lawan dari Mesir, Haya Ali dengan keputusan 11-9, 11-8, 12-14, 11-9 pada aksi di St. Louis, Amerika Syarikat itu.
Pemain di ranking ke-69 dunia itu mengambil risiko untuk meneruskan perlawanan dengan menggunakan raket patah tersebut kerana tidak mahu menjejaskan momentum permainannya.
“Saya ada beberapa raket lain tetapi risau takut (momentum perlawanan) jadi sebaliknya. Jadi saya teruskan guna dan Alhamdulillah tak jejas permainan.
“Harapan saya di final esok hanya mahu menang dan dalam masa sama mahu menikmati permainan skuasy yang terbaik. Saya tak letakkan tekanan yang tinggi kepada diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ainaa akan turun ke perlawanan akhir pada pukul 1 pagi esok menentang pilihan keempat kejohanan dari Mesir, Salma Eltayeb yang berada di ranking ke-59 dunia.
Pemain berusia 19 tahun itu mara ke final selepas menewaskan rakan senegaranya yang merupakan pilihan kedua kejohanan, Kenzy Ayman 11-6, 6-11, 11-9, 11-9. – KOSMO! ONLINE