Syawal menjelma, Masjid Wilayah di Jalan Duta, Kuala Lumpur kembali sunyi, tidak semeriah seperti kunjungan warga kota dan asing setiap hari bermula 1 Ramadan hingga ke malam raya.
Lokasinya yang strategik, mudah diakses dari pelbagai lebuh raya dan jalan utama memudahkan orang ramai berkunjung di masjid yang cukup popular dalam kalangan pelancong asing.
Masjid bernilai RM255 juta yang mempunyai seni bina Turki Uthmaniyah dan pengaruh seni bina Masjid Biru di Istanbul, Turki itu menyimpan seribu kenangan buat warga kota sepanjang Ramadan kerana ia menjadi destinasi persinggahan terbaik untuk berbuka puasa, seterusnya solat tarawih dan bertadarus.
Selalunya menu awal yang dihidangkan agak mewah seperti kuih-muih, pemanis mulut, bubur lambuk dan diikuti juadah utama nasi dan lauk yang disediakan pihak masjid selepas solat maghrib. Ramai yang menyumbang makanan untuk berbuka dan ia diagihkan oleh petugas masjid secara adil.
Jika pandai menggunakan kesempatan itu, warga kota tidak perlu berhabis duit membeli juadah berbuka puasa di bazar kerana semuanya ada di masjid tersebut.
Lebih menarik, tingkat bawah masjid disediakan tikar yang dibentang bagi memberi peluang kepada orang ramai bersama keluarga, rakan dan saudara-mara pelbagai peringkat umur duduk bersila, bertimpuh dengan pelbagai ragam berbuka puasa bersama-sama.
Ada yang membawa tikar dan bekalan untuk berbuka puasa selain berkongsi juadah bersama ‘jiran’, malah lebih meriah apabila tiba hujung minggu, pelbagai makanan yang disedekahkan tidak kira pangkat atau latar belakang jemaah, semuanya merasa.
Kemeriahan itu diteruskan hingga tiba waktu solat tarawih yang mana uniknya imam solat sunat dibawa khas dari luar negara yang membuatkan semua jemaah merindui suara garau Arab sesekali mencuit hati sayu dengan bacaan al-Quran dan doa yang dibacanya.
Sebaik selesai bertarawih, aktiviti bertadarus diteruskan buat beberapa kumpulan wanita dan pada 10 malam terakhir Ramadan, masjid itu semakin meriah ketika tiba dinihari apabila jemaah yang mahu menyertai qiamulai akan mula masuk ke dalam masjid secara berperingkat-peringkat.
Terasa begitu rapat hubungan sesama jemaah apabila menjadikan Masjid Wilayah sebagai destinasi tetap berbuka puasa sambil beribadat, malah menjadikan ia sebagai rumah kedua dalam bulan Ramadan yang mulia ini untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.
Kemanisan yang cukup terasa apabila tiba malam raya ketika takbir dibaca berulang kali membuatkan setiap jemaah di masjid tersebut pasti mengalirkan air mata selain gembira menyambut kedatangan 1 Syawal, tetapi juga mengenangkan tiada lagi momen indah untuk bertemu berbuka puasa, bersolat, beribadat, berbual dan berkenalan dengan rakan baharu di situ.
Bukan sahaja Masjid Wilayah, tetapi hampir semua masjid dan surau akan kembali sunyi seperti sedia kala menunggu kedatangan jemaah untuk menunaikan solat utama dan aktiviti ilmiah yang lain.
Semoga kita semua diketemukan lagi dengan Ramadan tahun depan.