PETALING JAYA – Ibu kepada kanak-kanak yang maut akibat strok haba pada raya keempat, menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan anak ketika musim panas ini.
Wanita tersebut, Wanie Iwan, ibu kepada Muhamad Syamil Aqil, 11, kanak-kanak yang maut akibat strok haba pada 25 April 2023 berkongsi perkongsiannya itu di Facebook baru-baru ini.
Wanie Iwan berkata, anaknya, Syamil aktif menyambut hari raya seperti kanak-kanak yang lain pada hari raya pertama dan kedua.
“Raya pertama dan kedua sangat-sangat aktif. Pergi beraya naik basikal. Sangat-sangat lasak,” katanya.
Namun, keadaan kesihatan Syamil mula merosot menjelang raya ketiga dan bertambah teruk pada keesokan harinya.
“Raya ketiga hanya demam biasa dan cirit birit. Ibu monitor (pantau) setiap jam suhu dia.
“Raya keempat selepas subuh, ibu nampak abang (Syamil) lemah sangat. Ibu ajak abah pergi klinik tapi abang tiba-tiba ‘nyetok’ (kekejangan),” katanya.
Menurutnya lagi, dia sudah memberikan keizinan kepada doktor yang bertugas untuk menyelamatkan Syamil selepas mengetahui nadi anaknya sudah tiada, namun Tuhan lebih menyayangi anaknya itu.
“Semua doktor dah cuba sehabis baik, ibu, abah bagi saja doktor nak buat apa-apa pun. Nak buat bantuan pernafasan dan sebagainya.
“Sejam mereka buat nadi tak naik-naik. Doktor minta untuk ibu dan abah reda,” ujarnya.
Tambahnya, Wanie melalui perkongsiannya menasihati ibu bapa di luar sana supaya mengambil iktibar kisahnya supaya peka dengan keadaan anak-anak di musim panas ini.
“Tolong ibu ayah ambil iktibar daripada cerita anak saya. Tolong jangan bagi main panas. Suhu loni (sekarang) sangat-sangat panas. Bagi anak air yang secukupnya,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang budak maut akibat strok haba di Kampung Perupok, Bachok, Kelantan. – KOSMO! ONLINE