PASIR PUTEH – Kemarau dan cuaca panas terik sejak akhir Februari lalu menyebabkan lebih 300 pesawah di Semerak Selatan di sini kerugian hampir RM1 juta apabila tidak dapat meneruskan penanaman padi dua kali setahun.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak, Alias Mat Rani berkata, cuaca kemarau kali ini turut mengakibatkan kebanyakan bendang lebih 400 hektar kering-kontang.
Menurutnya, bendang itu hanya mengharapkan sumber air hujan kerana tali air disambungkan ke kawasan tersebut.
“Kemarau ini menyebabkan buah padi tanpa isi (hampa), dan pokok mati sebelum sempat dituai. Perubahan iklim yang berlaku menjejaskan hasil pendapatan petani selepas musim tengkujuh baru-baru ini.
“Sebelum ini, saya memperoleh pendapatan RM7,000 semusim, namun tahun ini hanya RM1,900,” katanya ketika ditemui semalam.
Bendang Semerak Selatan meliputi Kampung Tanjung, Golok, Gong Manak, Chalok Peraksi, Kampung Besar dan Kampung Sepulau di sini.
Alias memberitahu, penanaman padi musim kedua terpaksa ditangguhkan sehingga hujung Mei ini kerana tanah sawah menjadi keras dan sukar dibajak.
Seorang lagi pesawah, Dollah Mohamad, 67, berkata, cuaca mencecah hampir 36 darjah Selsius menyukarkan petani menyedut air dari parit yang hampir kering untuk dialirkan ke bendangnya.
“Sebelum ini petani mengharapkan air hujan selain menyedut air parit berdekatan menggunakan enjin pam penyedut air.
“Sekarang cangkul boleh terpelanting dan mata bajak tumpul kerana tanah keras bagai simen akibat kemarau,” katanya.
Lebih parah lagi, skim bantuan banjir akhir 2022 dan awal tahun ini bagi meringankan beban petani masih belum diterima.