ARAU – Penunggang motosikal yang menunggang secara melulu atau loklak menjadi antara yang paling ramai disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negeri ini pada Aidilfitri ini
Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, lebih 500 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada penunggang motosikal sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 18 April hingga kelmarin.
“Hasil operasi mendapati masih ramai penunggang motosikal menunggang secara loklak atau berbahaya tanpa mengendahkan peraturan jalan raya seperti melakukan pusingan U di kawasan tidak dibenarkan.
“Kesalahan itu boleh mengundang kejadian tidak diingini kepada penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain termasuk menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui pada sekatan jalan raya di sini semalam.
Kata beliau, penghantar makanan atau penunggang motosikal e-hailing turut dikesan menunggang secara berbahaya dan melulu.
“Sepanjang tempoh operasi itu, mungkin terdapat banyak tempahan makanan dan penunggang tergesa-gesa menghantar makanan untuk mengejar tempahan sehingga mengambil jalan pintas melakukan pusingan U di tempat tidak dibenarkan.
“Kebanyakan berlaku di Jalan Kampung Pondok di sini yang terdapat banyak outlet makanan segera,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Fatimah, sebuah motosikal hantu atau ‘motosikal piang’ turut disita JPJ dalam sekatan jalan yang diadakan di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis arah Kuala Perlis. – KOSMO! ONLINE