BACHOK – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di pesisir Pantai Telong di sini ditemui selepas hampir 20 jam hilang di perairan pantai itu hari ini.
Mangsa, Mohamad Azwan Mohd. Azman, 28, yang merupakan pemandu kepada seorang penceramah bebas di Machang dihanyutkan arus ombak pada pukul 7 malam semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, mangsa ditemui kira-kira pukul 3.20 petang oleh anggota APMM yang membuat rondaan pesisir pantai itu.
Menurutnya, mangsa dipercayai lemas dan dihanyutkan ombak sejauh 1.4 kilometer (km) dari lokasi dia memukat ikan.
“Ketika membuat rondaan, anggota APMM melihat sesuatu berwarna hitam terapung pada jarak 10 meter dari pesisir pantai sebelum menarik mangsa ke daratan.
“Pengecaman dan pengesahan telah dibuat oleh adik mangsa, Muhammad Ashraf Mohd.Azman, 24, di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairun Dalilah memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 malam itu, Mohamad Azwan dipercayai ditarik arus ombak sebelum dihanyutkan ke tengah laut.
Mangsa dipercayai memukat ikan menggunakan kaedah pukat tarik di pesisir pantai itu bersama dua rakan dan empat orang kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE