GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya melumpuhkan 12 kes berprofil tinggi daripada 42 kes tangkapan yang membabitkan nilai keseluruhan lebih RM13 juta dalam Op Khas Pagar Laut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara bermula 9 April sehingga 25 April lalu.
Menurut beliau, 12 tangkapan berprofil tinggi itu melibatkan tiga kes tangkapan menyeludup masuk rokok, dua kes kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta masing-masing satu kes mencuri dan rompakan berkumpulan.
Turut berjaya ditumpaskan adalah tiga kes pencerobohan bot nelayan asing dan dua kes kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol dan minyak masak.
“Daripada 12 kes berprofil tinggi seperti dinyatakan, Maritim Negeri Johor berjaya menumpaskan kes rompakan bersenjata melibatkan empat warga tempatan di Pelantar Aurora Producer 1 di Tanjung Langsat, Johor pada 24 April lalu.
“Ini adalah kes pertama kali cubaan merompak kabel yang dilakukan oleh warga tempatan kerana kebiasaannya kes sebegini melibatkan warga asing. Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Saifuddin meninjau dan menyampaikan bingkisan raya kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas sempena Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di sini.
Sementara itu, Saifuddin memberitahu, kejayaan Op Pagar Laut ini adalah usaha berterusan Maritim Malaysia memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.
Dalam masa sama, beliau berharap Maritim Malaysia dapat mengurangkan sekali gus menghentikan aktiviti jenayah seperti penyeludupan PATI serta penyeludupan barangan kontraband, pencerobohan BNA dan banyak lagi menerusi tindakan berterusan seperti operasi berkenaan.
Jelasnya, meskipun Op Khas Pagar Laut itu akan berakhir tengah malam 30 April ini, Maritim Malaysia akan meneruskan kawalan dan rondaan di perairan negara dengan beberapa operasi lain di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE