fbpx

Lagu ‘Balik Kampung’ Sudirman sebenarnya bukan lagu raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Sudirman

PETALING JAYA – Di sebalik populariti lagu Balik Kampung nyanyian asal Allahyarham Sudirman Arshad yang sering dimainkan ketika menjelangnya hari raya Aidilfitri sebenarnya bukanlah lagu untuk sambutan hari raya.

Menurut portal hiburan Boom, lagu yang dicipta pada 1984 oleh S. Atan pada asalnya dihasilkan adalah untuk menggambarkan keseronokan pemuda-pemudi atau mahasiswa yang berada di kota pulang ke kampung untuk mengundi.

“Lagu ini saya cipta sempena kempen pilihan raya bagi menggambarkan perasaan anak muda dapat bercuti dan pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Bagi menambahkan jiwa dan rasa, lagu ini disuntik dengan elemen sama seperti yang selalu kita rasai sewaktu balik berhari raya di desa tercinta.

“Sejujurnya, saya tak sangka lagu ini akan jadi ‘evergreen‘ (malar segar) hingga ke hari ini sebaik tibanya musim perayaan,” ujarnya.

Sebagai rekod, selain Balik Kampung, S. Atan yang aktif sebagai penerbit dan komposer sejak awal 1970-an sudah mencipta lebih 50 lagu raya dan hampir kebanyakannya kekal hit hingga ke hari ini.

Rata-rata orang ramai yang baru mengetahui hal tersebut ternyata teruja dan menganggap lagu tersebut merupakan antara lagu terbaik dan lagu wajib dengar ketika tibanya musim perayaan.

“Aku baru tahu, patut la dalam rangkap lagu ini tidak ada perkataan raya walau satu kali pun,” ujar Zaibidi.

“Mati-mati ingat lagu ni lagu raya, tapi macam kena sahaja dengan sambutan raya,” jelas Cikgu Ajis. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI