SUBANG JAYA – Jeritan minta tolong kanak-kanak berusia empat tahun sempat didengari ibunya sebelum mendapati mangsa telah maut terjatuh dari tingkat 11 di Kuarters Polis, USJ 8, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.35 pagi ketika ibu mangsa berada di dapur.
Katanya, kanak-kanak perempuan itu merupakan anak kepada pasangan anggota polis yang tinggal di kuarters berkenaan.
“Menurut ibu mangsa, sebelum kejadian dia berada di bahagian dapur manakala anak-anaknya bermain di ruang tamu.
“Ketika itu, ibunya terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat dan cuba membuka pintu dari luar namun gagal kerana pintu terkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, ibu mangsa turut mendengar anaknya meminta tolong sebelum dia ke bilik sebelah untuk melihat dari luar tingkap.
“Apabila melihat dari luar tingkap ibu mangsa mendapati anaknya terjatuh ke bawah. Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa maut terjatuh dari tingkat 11.
“Pihak forensik dan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling tiba di tempat kejadian dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Tambah Wan Azlan, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang bagi proses bedah siasatazmi sebelum dituntut ahli keluarga.-KOSMO! ONLINE