fbpx

‘Kali terakhir jumpa, Mael lepak lama macam nak beritahu sesuatu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR terakhir Mus bersama Mael yang dirakam sekitar Disember tahun lalu ketika sama-sama menjayakan konsert Barbarik - Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – “Saya terdiam bila dapat tahu Mael sudah tiada. Saya tahu dia sakit asma tapi tak sangka Allahyarham pergi secepat ini.”

Itu kata-kata penyanyi rock, Mus May yang sangat terkesan dengan kehilangan vokalis legenda XPDC, Allahyarham Mael malam tadi.

Kali terakhir Mus, 55, bertemu dengan Allahyarham adalah sekitar Disember tahun lalu ketika sama-sama menjayakan Konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp, Kuala Lumpur.

“Saya dapat tahu tentang berita pemergiaan Mael daripada Joe Wings malam tadi. Memang terkejut dan tak sangka Mael dah tiada.

“Saya masih ingat kali terakhir kongsi pentas bersama dalam Konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp, Kuala Lumpur Disember tahun lalu, kami berborak panjang.

“Mael jenis orang lepas buat ‘show’ memang selalunya akan terus pulang rumah. Tapi malam itu, dia ‘stay’ sampai habis sidang akhbar (lewat malam). Dia peluk saya erat-erat macam nak beritahu sesuatu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online, sebentar tadi.

Mus atau nama sebenarnya, Mustaffa Din memaklumkan, sepanjang mengenali Mael, lelaki asal Muar, Johor itu seorang yang pendiam namun periang apabila sudah cukup saling mengenali antara satu sama lain.

“Kalau tak kenal rapat Mael memang tak tahu yang dia sangat sempoi. Pandai bergurau namun pada masa sama, sangat menjaga privasinya. Dia tak suka privasinya diganggu.

“Apabila sudah kenal, memang dia akan kongsi banyak perkara. Itulah Mael yang saya kenal. Jiwa rockers sangat tebal dalam dirinya. Pemergiannya semestinya akan dirindui ramai, terutama kita yang sama-sama pernah bekerja dengannya,” kata Mus lagi.

Mus turut memaklumkan, Konsert Barbarik – Pentas Keras sepatutnya bersambung ke Sabah sekitar Julai tahun ini namun perancangan tersebut barangkali berubah disebabkan pemergian mengejut Allahyarham.

“Lepas ini, saya tak tahulah. Lagu Nasib Kita nyanyian saya dan Mael takkan kedengaran sama lagi.

“Saya mungkin akan nyanyi seorang atas pentas namun keadaan sudah tak sama. Saya akan sentiasa teringatkan kehebatan Allahyarham atas pentas apabila menyanyikan lagu tersebut.

“Tentang Konsert Barbarik – Pentas Keras kita tengok dahulu bagaimana. Patutnya bersambung ke Sabah tapi Mael sudah tiada, keadaan dah tak macam dulu,” ujarnya.

Malam tadi, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar, Johor sekitar pukul 9 malam.

Allahyarham mengalami masalah semput yang agak kuat, sejak kebelakangan ini.

Jenazah Mael selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar sekitar pukul 10.55 pagi tadi.

Majlis pengebumian dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada keluarga, sahabat dan rakan-rakan artis yang datang dari ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI