PETALING JAYA- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyeru agar semua pihak untuk tidak mengambil langkah berdiam diri dan menyembunyikan kes penagihan dadah yang berlaku di dalam rumah masing- masing.
Tegas agensi itu, tindakan tersebut akan membahayakan bukan sahaja keluarga, malah memberi kesan kepada kejiranan khususnya dalam aspek kesejahteraan dan keselamatan.
AADK dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga Mac 2023, seramai 70,000 orang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) melalui Model i-Pulih agensi tersebut.
Jelas kenyataan itu, setiap seorang penagih mengakibatkan empat hingga enam ahli keluarga sengsara kesan daripada ketagihan najis dadah.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 3.3 juta rakyat di negara ini sengsara akibat aktiviti penagihan dadah.
“Sehubungan itu, ahli keluarga tidak harus berasa malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan keluarga. Perkara itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan ramai wanita yang bersuamikan penagih dadah sukar untuk menuntut cerai secara fasakh di mahkamah syariah hanya kerana tiada bukti kukuh mengenai salah laku pasangan mereka.
Situasi itu timbul berikutan ada sesetengah isteri juga enggan dan malu untuk melaporkan kegiatan suami mereka kepada pihak berkuasa.
Tambah AADK, pihaknya turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada penagih dadah di negara ini supaya mereka kekal pulih daripada penagihan dadah yang dilaksanakan di 28 fasiliti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) seluruh negara.
“Program rawatan dan pemulihan juga dilaksanakan oleh Pegawai AADK di 109 Pejabat AADK Daerah bagi memudahkan akses perkhidmatan rawat pulih kepada masyarakat yang memerlukan,”ujarnya.
Justeru itu, sekiranya mengenali orang yang terpalit dengan najis dadah, AADK sedia membantu dari sudut khidmat nasihat melalui cara tampil ke Pejabat AADK di daerah berdekatan atau hubungi talian Hotline Helo AADK 1-800-22-AADK (2235) atau 019-6262233.-KOSMO! ONLINE