GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) dilihat seperti sudah kehabisan modal politik apabila sengaja memainkan isu Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri sebagai bahan serangan politik mereka.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana beliau melihat isu berkaitan rumah terbuka itu dimainkan malah ‘digoreng’ berhari-hari oleh pimpinan PN.
“Saya nampak laporan media bahawa Menteri Besar Kedah juga ada rumah terbuka, secara besar-besaran, ramai yang hadir adakah itu untuk pancing undi?.
“Kita bawa majlis (Rumah Terbuka Malaysia Madani) kepada rakyat sepatutnya ia dialu-alukan, PN nampaknya seperti sudah tidak ada modal, isu-isu seperti ini digoreng sampai berbulan, berhari-hari,” katanya ketika ditemui di Dewan Bandaran, di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow melancarkan aplikasi Pearl-One Touch Penang yang merupakan aplikasi mudah alih hiperlokal yang dibangunkan khusus oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama syarikat fintech tanah air, ManagePay Services Sdn. Bhd (MPay).
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan bermula esok.
Penganjuran tersebut dikecam barisan pimpinan PN kerana dianggap menjadi cara kerajaan pusat berkempen kerana keenam-enam negeri terbabit bakal mengadakan pilihan raya tidak lama lagi, bagaimanapun pimpinan Pakatan Harapan (PH) menafikan bahawa ia merupakan satu pembaziran
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, penganjuran rumah terbuka tersebut merupakan satu kesempatan di musim perayaan untuk pimpinan tertinggi negara untuk bertemu dengan rakyat. – KOSMO! ONLINE