SEPANG – “Kalau aku mati, aku hanya fikir mati syahid,” kata Abdul Rahman Mohd Nuh, 25, yang merupakan pelajar Malaysia di Sudan.
Abdul Rahman yang merupakan pelajar tahun satu Maahad Bilal Asharie berkata demikian sebaik ditanya perasaaannya apabila berada di tengah-tengah konflik peperangan di Sudan baru-baru ini.
Abdul Rahman yang berasal dari Kuala Langat tiba di tanah air petang tadi selepas berjaya di bawa keluar dari Sudan ke Jeddah, awal pagi semalam bersama tiga lagi pelajar lain.
“Sebelum perang meletus, saya dan rakan lain sudah mula melihat askar-askar berjalan di tepi jalan namun, tidak mengagak apa-apa buruk bakal berlaku. Bagaimanapun, sehari selepas itu (25 Ramadan) perang meletus dan kami mendengar bunyi tembakan dan berbalas tembakan,” katanya.
Tambah Abdul Rahman, sejak itu, dia dan pelajar lain tidak dibenarkan hadir ke kelas dan masjid serta terpaksa berlindung di tempat selamat.
Abdul Rahman berkata, peperangan meletus sehinggalah tiga hari sebelum 1 Syawal dimana bunyi tembakan dapat didengar sepanjang hari. – KOSMO! ONLINE