fbpx

Fadhlina luah rasa sedih, Ghannouchi ditahan sejak akhir Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina berharap Ghannouchi diberi keadilan serta dibebaskan setelah ditahan sejak akhir Ramadan lalu.

PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan rasa sedih berhubung perkembangan mutakhir politik di Tunisia serta penahanan tokoh politik utama, pemimpin parti Ennahda, Rached Ghannouchi.

“Saya merasa sedih mengikuti perkembangan terkini di Tunisia, di mana Syeikh Rached Ghannouchi seorang tokoh politik, ilmuwan dan demokrat muslim masih belum dibebaskan sejak ditahan pada hujung Ramadhan yang lepas.

“Tindakan penahanan beliau dilihat sebagai usaha yang terkebelakang sejak berlakunya revolusi jasmin yang memperlihatkan rakyat Tunisia bangkit menjatuhkan pemerintahan diktator yang zalim dan menindas rakyat,” ciapnya di Twitter hari ini.

Pada 17 April lalu, dunia gempar apabila pasukan polis Tunisia bertindak menahan Rached, 82, yang juga pengasas dan pemimpin utama, Ennahda di kediamannya di ibu kota Tunisia.

Bekas Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Tunisia itu antara beberapa individu berprofil tinggi ditangkap kerana dipercayai amat lantang mengkritik Presiden Kais Saied.

Beliau kemudian dihantar ke penjara El Aouina di Timur Tunisia dan polis telah melarang parti berkenaan daripada mengadakan sebarang bentuk aktiviti termasuk sesi sidang akhbar.

Susulan penahanan itu, pihak polis khas turut menyerbu ibu pejabat Ennahda dan markas parti politik berhaluan Islam sederhana itu di seluruh negara rantau utara Afrika tersebut.

Fadhlina berkata, beliau berharap keadilan dan kebebasan berpihak kepada Ghannouchi di samping turut mendoakan kesejahteraan keluarga tokoh tersebut serta rakyat Tunisia.

“Saya berdoa dan berharap keadilan dan kebebasan buat Syeikh Rached Ghannouchi yang saya hormati dan kagumi. Juga kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Tunisia.

“Kepada seluruh ahli keluarga beliau yang tercinta, semoga tabah dengan ujian serta mehnah ini. Semoga Allah Ta’ala memberikan kesabaran dan mengangkat martabat kalian ke maqam yang lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI