MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mula melaungkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya berpeluang besar untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas pendahulu, Arsenal di Etihad awal pagi semalam.
City berjaya meledak empat gol menerusi gol terakhir Erling Haaland selepas dia mencipta dua umpanan gol buat Kevin De Bruyne, selain satu lagi gol hasil jaringan John Stones yang menanduk masuk bola hantaran lintang, sementara Arsenal meraih gol menerusi Rob Holding.
Biarpun meraih kemenangan tersebut, City masih belum berjaya memintas kedudukan Arsenal apabila kekurangan dua mata, namun kelebihan menjadi milik mereka apabila masih kekurangan dua perlawanan.
“Ia adalah perlawanan yang penting buat kami. Ia tidak menentukan apa-apa, tetapi penting buat kami.
“Kami bermain dengan baik dan saya tahu cara mereka bermain.
“Arsenal masih berada di kedudukan teratas, ia mungkin kedengaran sangat naif, tetapi kami sedang berada hampir di belakang mereka untuk perebutan kejuaraan musim ini,” kata Guardiola.
Musim ini menyaksikan Arsenal menguasai kedudukan teratas liga sejak minggu ketiga saingan dan belum dapat dipintas oleh City menyebabkan Guardiola mengakui The Gunners adalah calon pilihan juara, namun keputusan awal pagi semalam kembali memberikan keyakinan buat The Citizens.
“Sudah tentu saya yakin dengan kemampuan kami (meraih kejuaraan). Saya harap kami mampu mengutip enam mata dalam dua lagi perlawanan, semuanya akan ditentukan oleh kami sendiri.
“Sebelum ini saya fikir Arsenal adalah calon, jika mereka menewaskan kami kali ini, sudah pasti kelebihan menjadi milik mereka. Namun, sebaliknya berlaku dan kini kami mempunyai peluang lebih cerah,” jelasnya. – AGENSI