MANCHESTER – Selepas melalui empat aksi tanpa sebarang kemenangan termasuk tewas 1-4 berdepan Manchester City di Etihad awal pagi semalam, pengendali Arsenal, Mikel Arteta percaya mereka masih berpeluang untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Bagaimanapun, Arteta mengakui bahawa skuad kendaliannya tidak mampu untuk tercicir sebarang mata pada baki lima perlawanan terakhir musim ini selepas hanya dibezakan dua mata ketika mereka sudah beraksi lebih dua perlawanan berbanding City.
“Saya fikir kami perlu mula kembali meraih kemenangan. Laporan analisis sangat jelas, pasukan yang bermain baik akan memenangi perlawanan kali ini.
“City berada pada tahap terbaik mereka, jurang kualiti itu kelihatan sangat besar. Anda perlu melakukan perkara asas ketika berdepan pasukan seperti mereka, tetapi kami tidak melakukannya dan menerima hukuman ini.
“Jangkaan pada awal musim mengatakan kami mungkin menamatkan saingan di kedudukan keenam atau ketujuh. Kami masih ada lima perlawanan terakhir, saya sudah melihat banyak situasi dalam saingan EPL dan saya tahu bagaimana ia boleh berubah,” katanya.
Berbaki lima lagi perlawanan yang perlu diharungi, Arsenal mungkin akan menamatkan musim ini dengan maksimum 90 mata sekiranya meraih kesemua 15 mata dan Arteta percaya ia mampu menghidupkan peluang mereka meraih kejuaraan.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengembalikan semangat para pemain kerana kekalahan ini sukar untuk diterima.
“Kami perlu menerima realiti, itu adalah cara terbaik untuk kami terus melihat kehadapan. Kami tidak mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan kecuali kembali meningkatkan keupayaan dan menjadi lebih baik.
“Kami sedar bahawa Arsenal memerlukan pasukan yang baik untuk menang. Anda perlukan 11 pemain untuk melakukannya, tetapi kali ini kami agak jauh,” ujarnya. – AGENSI