PETALING JAYA – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang kenyataan tular yang memburukkan syarikat itu di media sosial ketika ini.
MAHB dalam satu kenyataannya hari ini menjelaskan, tindakan undang-undang itu akan dilakukan selepas ada dakwaan yang menyatakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu ada terlibat dengan satu ‘perjanjian’ dengan sebuah syarikat lain.
“Terdapat beberapa dakwaan yang tular ketika ini di media sosial kononnya ada ‘perjanjian’ antara MAHB dan syarikat lain.
“Ingin ditegaskan di sini bahawa sebagai syarikat senaraian awam dan sebuah GLC, MAHB patuh kepada struktur dan proses tadbir urus yang sangat kuat dan mantap.
“MAHB tidak akan mengeluarkan sebarang komen dan tidak akan mengulas mengenai dakwaan yang telah dilemparkan,” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, setiap dakwaan yang telah tular di media sosial sebelum ini adalah mengelirukan serta palsu dan MAHB tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang demi menjaga reputasi baik mereka selama ini. – KOSMO! ONLINE.