MELAKA – Seorang pemandu Perodua Myvi dicekup oleh orang ramai selepas mengacukan sepucuk pistol di kepala seorang penunggang motosikal gara-gara tidak berpuas hati dihon mangsa di hadapan Melaka Mall, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai mekanik bagaimanapun berjaya merampas senjata terbabit selepas bergelut dengan suspek berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pergaduhan berlaku apabila suspek yang menaiki Myvi dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U di lampu isyarat di Jalan Lebuh Ayer Keroh menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX membunyikan hon dan menjerit ‘Hoi!’ kepada suspek.
“Suspek mengarahkan mangsa berhenti di hadapan Melaka Mall dan telah memarahinya menggunakan bahasa yang tidak difahami sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dari keretanya.
“Suspek kemudian mencekak belakang leher mangsa serta mengacukan senjata itu di kepala kirinya, namun mangsa telah bergelut dan berjaya merampas senjata berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek kemudian cuba melarikan diri dengan kenderaannya, namun berjaya dicekup oleh mangsa dan orang awam di tempat kejadian.
Ujarnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan sedang menjalani pengawasan (PS) di Balai Polis Bukit Baru sejak 1 November 2021 sehingga 1 November depan atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Hasil soal siasat, suspek mengakui dia telah membeli senjata berupa pistol angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB itu daripada rakannya dan kini pihak polis sedang mengesan individu terbabit untuk siasatan lanjut.
“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas enam peluru jenama Wingun 700 dan satu bungkusan lut sinar mengandungi manik plastik warna hijau,” katanya.
Christopher berkata, hasil saringan ujian air kencing suspek bagaimanapun negatif dan kini ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1)(a)Akta Senjata Api 1960.-KOSMO! ONLINE