PETALING JAYA – Pemain skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi mencipta kejutan sensasi apabila melangkah ke peringkat separuh akhir RC Pro Series 2023 yang sedang berlangsung di St. Louis, Amerika Syarikat (AS).
Menariknya, Ainaa, 21, meraih tiket tersebut selepas menewaskan pilihan utama kejohanan dari Mesir, Nour Aboulmakarim dengan keputusan 11-7, 6-11, 11-3, 13-11 pada aksi suku akhir awal pagi tadi.
Ia adalah kemenangan pertama Ainaa, No.69 dunia, ke atas Aboulmakarim yang menghuni ranking lebih tinggi daripadanya iaitu No.44 dunia.
“Ia satu perlawanan yang sengit. Saya tewas di set kedua kerana tak sabar nak menang sebelum saya kembali ke strategi permainan sebenar, lebih sabar dan bina semula keyakinan di dua set seterusnya.
“Memang saya tak jangka (ke separuh akhir) sebab saya jumpa pilihan utama dan rekod pertemuan sebelum ini pun tak pernah menang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sekiranya Ainaa kekal konsisten, pemain dari Kuala Lumpur itu dijangka tiada masalah untuk melangkah ke pentas final menentang pilihan kedua, Kenzy Azman atau pilihan keempat, Salma Eltayeb pada Ahad ini.
Ini kerana Ainaa dijangka tiada masalah untuk menewaskan pemain No.89 dunia dari Mesir, Haya Ali pada aksi separuh akhir yang akan berlangsung pada pukul 5.30 pagi esok. – KOSMO! ONLINE