fbpx

31 pemilik kenderaan guna lorong kecemasan dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan memanggil 31 pemilik kenderaan yang dilaporkan oleh orang awam telah memandu di lorong kecemasan sepanjang 10 hari Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Sharif berkata, secara keseluruhan sebanyak 80 laporan atau aduan telah direkodkan menerusi saluran e-Aduan@JPJ sejak 18 April sehingga semalam.

Katanya daripada jumlah tersebut, dua kesalahan dengan aduan paling tinggi adalah menggunakan lorong kecemasan iaitu sebanyak 31 kes dan memotong barisan atau memotong di sebelah kiri 39 kes.

“Sepanjang Op HRA 2023, kita telah menerima maklumat daripada pengguna jalan raya berkenaan 31 buah kenderaan yang masih berdegil menggunakan lorong kecemasan.

“Kita akan panggil kesemua pemilik kenderaan ini ke pejabat untuk mendapatkan keterangan mereka sebelum sebarang saman atau tindakan mahkamah dikenakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Tambahnya, surat perintah hadir ke pejabat JPJ telahpun dikeluarkan dan tindakan saman akan dibuat bagi mereka yang ingkar dengan notis tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam tempoh sama, JPJ negeri telah memeriksa sebanyak 6,702 buah kenderaan dan 1,136 daripadanya telah diambil tindakan bagi pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 1,071 merupakan kenderaan persendirian, manakala kenderaan barangan (56) dan sembilan perkhidmatan awam.

“Antara kesalahan dilakukan mereka adalah tidak pakai tali pinggang keledar (62), gagal mematuhi peraturan lampu isyarat (45), lebih muatan (25), menggunakan telefon bimbit ketika memandu (7) dan memotong barisan (4),” ujarnya.

Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 26 buah kenderaan turut disita bagi kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh atau tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insuran.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI