KUALA LUMPUR – Hasrat perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk mempertahankan gelaran, ranap selepas dia tersingkir daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebentar tadi.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Dewan Tertutup Sheikh Rashid Bin Hamdan itu, Zii Jia ditunjuk jalan keluar apabila tewas 19-21, 16-21 kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long.
Meskipun bermula agak baik di set pertama dengan mendahului 13-9, namun pemain No.4 dunia itu gagal mengekalkan aksi konsisten apabila membenarkan Ka Long mengejar dan memimpin permainan 16-13.
Walaupun Zii Jia cuba untuk bangkit pada penghujung permainan, namun pemain Hong Kong itu tetap tenang sebelum memastikan mata pertama perlawanan menjadi miliknya apabila menang 21-19 dalam tempoh 18 minit.
Bersambung set kedua, perlawanan berlangsung sengit apabila kedua-dua pemain saling mengejar mata dan bertukar servis, bagaimanapun Ka Long mula mendapat lebih motivasi selepas mendahului 11-7.
Situasi tambah parah buat Zii Jia apabila terus ketinggalan 11-15, sekali gus meletakkan Ka Long dalam keadaan lebih selesa sebelum dia mengesahkan slot ke pusingan kedua menerusi kemenangan 21-16.
Untuk rekod, ini merupakan kekalahan ketiga Zii Jia kepada pemain No.17 dunia itu dalam empat pertemuan selepas turut mengalami nasib sama pada kejohanan Terbuka New Zealand 2019 dan Indonesia Masters 2023 Januari lalu.
Sementara itu, seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong juga tersingkir di pusingan pertama apabila turut tewas kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dalam aksi straight set 17-21, 18-21. – KOSMO! ONLINE